KEUNIKAN ALAM
Pembentukan alam semesta
Proses kejadian alam dari pandangan al Quran
Proses kejadian alam ini satu persoalan yang menarik sejak dari zaman dahulu
hingga ke hari ini. Manusia masih ingin mencari kepastian asal usul kejadian
alam ini. Bagaimana proses kejadiannya. Bagaimana alam ini terjadi dan
diciptakan. Manusia masih tercari-cari jawapannya. Manusia tidak jemu-jemu
dengan segala usaha dan kemahiran yang ada untuk mencari jawapannya. Ahli-ahli
sains hari ini dengan teknologi tinggi dan canggih masih terus berusaha
untuk mencari rahsia kejadian alam ini.
Allah yang menciptakan alam ini tidak membiarkan manusia untuk mencari
jawapannya kerana Dia Maha Mengetahui akan kelemahan hambaNya. Kelemahan
manusia sungguh banyak contohnya kita tidak boleh menjelajah jauh ke seluruh
pelusuk alam untuk mengetahui keadaan sebenar seluruh alam. Apa yang manusia
boleh lakukan hanya meramalkan berdasarkan dengan sedikit ilmu yang ada pada
ketika itu. Mungkin betul dan mungkin juga salah. Oleh kerana itulah Allah
telah memberitahu manusia jawapan bagaimana dan siapa yang menciptakan alam
ini. JawapanNya diterangkan di dalam al Quraan melalui RasulNya. Di dalam al
Quraan yang suci Allah menyebutkan Dialah yang menciptakan alam semesta ini
dengan kekuasaan dan kehendakNya. FirmanNya yang bermaksud:
"Dan Dialah menciptakan langit dan bumi
dengan benar. Dan benarlah perkataanNya diwaktu Dia
menyatakan, Jadilah lalu terjadilah', dan di tanganNyalah segala
kekuasaaan diwaktu sangkakala ditiup. Dia mengetahui yang ghaib dan yang
nampak. Dan Dialah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui"
al Anaam: 73
Allah telah menciptakan langit dan bumi ini melalui proses-proses yang
dikehendakiNya. Sebahagian daripada proses-proses kejadian alam ini telah
diterangkan oleh Allah dengan jelas di dalam al Quran. Allah telah menerangkan
bahawa kejadian langit dan bumi ini asalnya daripada satu yang padu, kemudian
dipisahkan menjadi langit dan bumi. Firman Allah yang bermaksud:
"Dan apakah
orang-orang kafir, tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu
kedua-duanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan
kedua-duanya. Dan daripada air Kami jadikan segala suatu yang hidup. Maka
mengapakah mereka tidak juga beriman?
Ayat
ini menerangkan asal kejadian alam semesta, terdapat tiga maklumat penting yang
terkandung di dalam ayat ini berkaitan dengan kejadian alam semesta(Dr.Zakaria
Awang Soh,1990)
~ Bahan yang membentuk alam semesta ini
merupakan satu entiti (suatu yang
wujud) tunggal.
~ Keseluruhan alam semesta, langit dan
bumi adalah tercantum dalam satu unit.
~ pemisahan berlaku secara sistematik
untuk menghasilkan hukum-hukum fizikal
dan peningkatan jirim (ordering
matter)
Perkataan "ratq" membawa maksud memadukan unsur-unsur menjadi satu
jasad yang padu. Jasad yang padu inilah yang menjadi asal mula alam. Perkataan
"fatq" membawa maksud dipisahkan atau dipecahkan. Jasad yang padu
tadi kemudiannya melalui proses pemisahan. Bagaimana proses pemisahan itu tidak
dapat dijelaskan. Jika dilihat kepada alam semesta yang wujud hari ini
menggambarkan proses pemisahan ini berlaku dalam satu kuasa pemisahan yang
sungguh hebat dan amat kuat.
Proses
pembentukan alam ini berlaku secara bertahap-tahap selepas dari pemishan itu.
Hal ini seperti yang disebut di dalam alQuraan yang bermaksud;
"Kemudian Dia menuju kepada penciptaan
langit dan langit itu masih merupakan asap lalu Dia berkata kepadaNya dan bumi,
Datanglah kamu keduanya menurut perintahKu dengan suka hati
atau terpaksa keduanya menjawab 'kami datang dengan
suka hati' Maka Dia menjadikan tujuh langit dalam
masa dua masa dan Dia mewahyukan pada tiap-tiap langit urusannya. Dan
kami hiasi langit yang dekat dengan bintang yang cemerlang
dan Kami perliharanya dengan sebaik-baiknya.
Demikianlah ketentuan yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui."
Fushilat
: 11-12
Seluruh
proses kejadian alam ini berlaku secara sistematik dengan ukuran yang rapi dan
tepat seperti yang disebut di dalam alQuraan
"Sesungguhnya Kami
menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)."
AlQamar :49
Manakala alam semesta yang diciptakan oleh Allah ini sentiasa mengembang atau
keluasan alam ini sentiasa bertambah dari masa kesemasa. Ini bermaksud segala
apa yang ada di alam ini sentisa bertambah terhadap masa. FirmanNya
bermaksud:
"Dengan kemahiran dan
kekuasaan Kami, Kami bangunkan langit dan Kami
kembangkannya"
Azariat : 4
Putaran bumi
Kita semua dapat hidup di atas muka bumi ini kerana bumi berputar di atas
paksinya dalam tempoh 24 jam sehari. Cuba bayangkan sekiranya bumi ini tidak
berputar, mustahil kita dapat hidup dengan aman dan sentosa di permukaan bumi.
Dari putaran inilah terjadinya siang dan malam. Permukaannya yang menghadap
matahari akan mengalami siang manakala permukaan yang membelakangkan matahari
akan menjadi malam. Seandainya bumi tidak berputar maka sudah tentu bahagian
yang menghadap matahari akan menjadi siang selama-lamanya hingga hari kiamat
dan begitulah sebaliknya.
Apakah yang akan terjadi sekiranya siang berlaku terus menerus? Sudah pasti
keadaan udara dan hawa dari saat ke saat, dari minit ke minit dan dari
jam ke jam akan menjadi bertambah panas. Dalam tempoh 100 jam sahaja udara akan
mencapai takat didih 100ºC sehingga lautan, tasik, danau, sungai dan sebagainya
akan mendidih dan menggelegak. Cuba anda bayangkan apa yang akan terjadi
sekiranya seluruh sungai, danau dan samudera mendidih airnya? Begitu juga darah
yang mengalir di dalam tubuh kita juga turut mendidih. Dalam keadaan
sedemikian, tidak ada satu pun makhluk yang dapat hidup. Semuanya akan mati dan
musnah menjadi debu-debu yang berterbangan.
Apa pula yang akan terjadi sesudah 100 jam atau 1000 jam berikutnya? Bukan
sahaja semua ini akan mendidih, bahkan semua permukaan bumi ini sama ada
benda-benda pepejal atau sebagainya, akan menjadi bara api yang tersangat
panas. Ketika itu, bukan setakat manusia sahaja akan mati terbakar malahan bumi
ini sendiri akan terbakar menjadi debu dalam sekelip mata sahaja.
Kemudian apa pula yang akan terjadi sekiranya waktu malam berlaku terus menerus
sehingga hari kiamat? Hawa dan udara dari saat ke saat dan seterusnya dari jam
ke jam akan terus bertambah dingin sehingga dalam tempoh 100 jam sahaja akan
mencapai takat 0ºC sehingga seluruh air dan benda yang cair akan membeku
menjadi ais yang pejal dan keras. Mungkin di saat itu, manusia dan binatang-binatang
masih dapat hidup seperti keadaan di Kutub Utara dan Selatan. Namun begitu,
bagaimana pula keadaannya sesudah 100 jam atau 1000 jam berikutnya? Apabila
udara dan suhu menjunam turun ke bawah paras 0ºC maka sudah pasti akan
lenyaplah segala kehidupan di muka bumi ini.
Kedua-dua ibarat ini harus kita fikirkan sedalam-dalamnya untuk melihat betapa
hebatnya kekuasaan Allah dan juga perlindungan-Nya yang diberikan untuk
kehidupan setiap makhluk khasnya kita sebagai manusia yang dikurniakan akal
fikiran yang sempurna. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Katakan pula, bagaimanakah pendapat kamu
sekiranya Allah menjadikan siang terus menerus sampai hari kiamat? Siapakah
selain Allah yang akan mendatang malam kepadamu yang kamu dapat beristirehat
padanya? Maka apakah kamu tidak memperhatikannya? Dan kerana
rahmatnya-Nya, Dia jadikan untuk kamu malam dan siang supaya kamu beritirehat
pada malam itu dan supaya kamu mencari sebahagian dari kurniaan-Nya (pada siang
hari) dan agar kamu bersyukur kepada-Nya.”
(Al-Qasas: 72-73)
Dengan adanya putaran bumi siang dan malam maka keadaan hawa di permukaan bumi
ini menjadi seimbang dan sederhana iaitu tidak terlalu panas dan tidak terlalu
dingin. Sehingga manusia, haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan dapat hidup dengan
selesa di permukaan bumi ini.
Ya... semamangnya kita harus renungkan siapakah lagi selain Allah yang dapat
memutarkan bumi sebesar ini? Iaitu planet yang berukur lilit 40,003 km dan
beratnya beribu-ibu juta tan itu. Perkara ini hendaklah kita fikirkan
sedalam-dalamnya. Seterusnya hendaklah kita selalu mengingati dan berterima
kasih kepada Allah s.w.t. Janganlah kita sekali-kali menjadi orang-orang yang
seakan-akan tidak mendengar dan melihatnya sedangkan kita mempunyai telinga,
mata dan akal untuk bersyukur memuji-Nya.
Peredaran Bumi Mengelilingi Matahari
Selain daripada berputar atas paksinya, bumi juga berputar mengelilingi
matahari dalam lingkaran orbitnya yang amat luas. Ingatlah bahawa jarak antara
bumi dengan matahari adalah 149,000,000 km dan putarannya mengambil masa selama
365¼ hari iaitu setahun mengikut perkiraan kita.
Semasa beredar mengelilingi matahari, bumi akan berputar di atas paksinya dalam
berkeadaan condong. Maka sesetengah negara yang terletak jauh dari garisan
khatulistiwa akan lebih terdedah kepada cahaya matahari lalu jadilah musim
panas ataupun kurang menerima cahaya matahari lalu jadikan musim sejuk. Sebagai
akibat daripada pergantian musim ini terjadilah pelbagai jenis tumbuhan dan
buah-buahan di permukaan bumi ini yang menjadi nikmat dan hikmah yang amat besar
kepada seluruh kehidupan di muka bumi.
Begitulah keadaannya dari semasa ke semasa dan silih berganti tanpa henti-henti
sehingga hari kiamat... akibat peredaran bumi di sekeliling matahari. Firman
Allah s.w.t. yang bermaksud:
“... Dan engkau lihat bumi ini kering tetapi
setelah kami turunkan air (hujan) padanya, ia menjadi lembut dan subur dan
menumbuhkan pelbagai macam tumbuhan dan buah-buahan yang cantik dan lazat.”
(Al-Hajj: 5)
Firmannya lagi yang bermaksud:
“Dan kami hamparkan bumi itu dan kami letakkan
padanya gunung-ganang yang kukuh dan kami tumbuhkan padanya segala macam
tanaman yang indah dipandang mata.”
(Qaaf: 7)
Jarak Di Antara Bumi Dengan Planet-Planet
Lain
Kita sudah pun mengetahui jarak di antara bumi dengan matahari dan semamangnya
telah dapat dibuktikan menerusi sains dan nas-nas Al-Quran bahawa jika jarak
itu berubah sedikit sahaja maka terjadilah kerosakan yang amat dahsyat di bumi.
Sekiranya bumi mendekati matahari dengan kadar lebih atau kurang dari jarak
yang sedia ada sekarang maka sudah pasti akan berlaku mala petaka dan
bencana-bencana alam yang tidak terkira dahsyatnya. Begitulah juga bulan dan
planet-planet lain, sekiranya terkeluar sedikit dari orbitnya sama ada terlebih
atau terkurang nescaya akan berlanggaran antara satu sama lain.
Jarak tertentu yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. bagi bumi di tengah-tengah
angkasa raya dan cakerawala-cakerawala ini merupakan perlindungan-Nya yang
sangat besar faedah dan manfaatnya kepada seluruh kehidupan di muka bumi.
Lebih-lebih lagi untuk kehidupan dan kesejahteraan hidup manusia. Semuanya ini
harus kita renungkan. Jangan sekali-kali kita gunakan akal dan fikiran semata-mata
untuk perkara-perkara yang kecil dan remeh sahaja seperti soal makan, pakaian,
perhiasan dan sebagainya. Mengapa kita tidak gunakan keupayaan sebenar akal
yang dikurniakan Tuhan iaitu untuk merenung alam ciptaan-Nya seterusnya
mendatangkan kesedaran, keyakinan dan kegerunan kepada kebesaran Allah s.w.t.
Ini selanjutnya dapat membina sikap dan akhlak yang sentiasa bertunjangkan
ajaran Islam dan syariatnya. Menggunakan akal sedemikian barulah memberi faedah
yang sebenar-benarnya kepada manusia yang membawa kepada kebahagiaan hidup dan
jauh daripada amalan atau perbuatan yang merosakkan. Firman Allah s.w.t. yang
bermaksud:
“Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu
hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah
antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak... Dan
kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.”
(Al-Hadid : 20)
Jika kita renungkan sedalam-dalamnya bahawa setiap bintang dan planet itu bebas
bergerak di angkasa raya, bergerak dan berputar dari abad ke abad,
masing-masing tetap pada jaraknya yang tertentu maka sedarilah betapa hebatnya
kukuasaan Allah s.w.t. dalam mengatur segalanya sehingga saling tidak
berlanggaran. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Matahari berjalan di tempat yang ditetapkan
baginya. Demikianlah Allah Yang Maha Gagah Lagi Maha Mengetahui. Sedangkan
bulan kami tentukan baginya tempat yang tertentu sehingga ia kembali berbentuk
seperti pelepah kurma yang kering (bulan sabit). Tiadalah matahari mendekati
bulan dan tidak pula malam mendahului siang sedang semuanya beredar pada garis
edarannya (orbit).”
(Yassin : 38-40)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar